[Perkembangan Agama Di India]
India merupakan tanah tamadun yang pernah gemilang pada suatu ketika dahulu. Sekitar 3000-2000 SM Harappa dan Mohenjo Daro merupakan tamadun hebat yang pernah berdiri di India dan menjadi kajian sejarah sehingga ke hari ini. Penduduk asal India yang menetap di sana adalah dari kalangan bangsa Dravidia. Bangsa ini adalah penduduk asli yang diketemukan mendiami kota Harappa di Punjab dan di sebelah utara kota Karachi sekitar tahun 3000-2000 SM.[1]
Bangsa Dravidia merupakan bangsa yang beragama kepada politheisme, mereka percaya kepada banyak Tuhan. Mereka juga memiliki kepercayaan menyembah dewa-dewa, misalnya dewa kesuburan dan kemakmuran (Dewi Ibu).[2] Menurut Ernest Mackay di dalam bukunya Early Indus Civilizations menyatakan bahawa masyarakat lembah Sungai Indus juga menyembah binatang-binatang seperti buaya dan gajah serta menyembah pohon seperti pohon pipal (beringin).[3] Malah mereka juga melakukan ritual mengorbankan haiwan untuk dipersembahkan kepada dewa-dewi mereka. Selain itu juga mereka sudah ada upacara mandi suci yang ditemui di Mohenjodaro ini kerana di tengah-tengah kota tersebut terdapat sebuah kolam yang dikenali sebagai “Great Bath”. Pemujaan dan ritual tersebut dilakukan sebagai tanda terima kasih mereka kepada dewa disebabkan memberi nikmat yang merupakan keamanan dan kesejahteraan di dalam kehidupan mereka.[4]
Terdapat sebuah teori terkenal yang menceritakan mengenai perubahan struktur sosial di India pada suatu ketika itu. Iaitu teori kemasukkan orang Arya ke tanah India. Dianggarkan sekitar tahun 1800-1000 SM bangsa Arya dari Parsi (Iran) memasuki India. Arya bermaksud bangsa yang mulia. Mereka adalah bangsa berkulit cerah dan memiliki hidung mancung serta mereka adalah bangsa yang mahir dalam berperang. Bangsa Arya melihat bahawa bangsa Dravidia sebagai bangsa yang tidak mahir dalam seni berperang, sehingga bangsa Dravidia dikalahkan oleh bangsa Arya dan menyebabkan terdesaknya bangsa Dravidia sehingga berpindah ke selatan.[5] Hal ini dibuktikan oleh ahli arkeologi ketika melakukan penggalian di Harappa didapati terdapat banyak kerangka manusia yang mati ketika berperang dan itu menanda bahawa terjadinya peperangan antara Arya dan Dravidia pada suatu ketika dahulu. Di akhirnya bangsa Dravidia ditakluk oleh bangsa Arya. Selain itu juga berlaku kerosakan teruk pada kota Harappa hasil dari terjadinya peperangan tersebut.[6]
Masuknya Monotheisme Arya Ke India
Bangsa Arya adalah bangsa yang banyak mencorak struktur keagamaan di India sehingga wujudnya agama Brahma atau Hindu pada hari ini. Ketika bangsa Arya memasuki India, jauh sebelum itu mereka sudah memiliki agama mereka sendiri dan ada sebahagian ilmuan mengatakan ia adalah Arya Dharma.[7] Dharma bermaksud ‘Jalan Hidup’. Oleh itu Arya Dharma bermaksud ‘Jalan Hidup Arya’.[8] Di dalam konsep Arya Dharma mereka mempercayai kepada Tuhan Esa, dengan kata lain ia adalah agama monotheisme.[9]
Ramai sarjana barat mengaitkan Arya Dharma menerima pengaruh dari agama Zoroaster dari Parsi kerana terdapat beberapa persamaan di antara kandungan kitab Veda dengan kitab suci Zoroaster iaitu Gathas seperti kajian Mary Boyce dalam buku Zoroastrians: Their Religious Beliefs and Practices. Manakala ada pula pandangan yang mengatakan Arya Dharma ia pengaruh dari ajaran Abraham atau Ibrahim dari Mesopotamia.
Menurut Prof. Uthaya Naidu di dalam bukunya “Bible of Aryan Invasions: Aryan Invansions & Genocide of Negroes, Semites & Mongols The Bible of Aryan Invasions” menyebut bahawa di antara tahun 1500 SM hingga 800 SM terdapat empat serangan dan kemasukkan bangsa Arya ke atas India, antaranya:
1) Kemasukkan Arya Rigvedik (1500 SM)
2) Kemasukkan Aryan II (1400 SM)
3) Kemasukkan ras Arya Krishnaite (1200 SM)
4) Kemasukkan ras Arya Mahabharata (900-800 SM)
Pada kemasukkan pertama yang dikenali sebagai kemasukkan Arya Rigvedik merupakan gerombolan besar serangan Arya ke India lalu mereka berperang dengan kaum Dravidia yang merupakan kelompok awal yang menyerang tamadun di lembah sungai Indus. Hasil daripada peperangan itu kaum Dravidia kalah dan mereka diusir ke selatan India. Manakala pada abad berikutnya, dikenali zaman kemasukkan Arya kali kedua di India dan mereka dipercayai merupakan ras Indo-Arya yang memiliki tamadun dan peradaban. Kaum Arya menguasai dua kawasan utama di India iaitu di Punjab dan Doab.[10] Selepas daripada kemasukkan Arya ke II ke India maka berlakulah zaman penulisan kitab Veda dengan menggunakan bahasa Sanskrit sebagai bahasa pengantar. Ini kerana kaum Arya ke II mula menyebar fahaman dan agamanya ke India.[11] Agama dan ajaran yang dibawa oleh orang Arya merupakan ajaran monotheisme.
Mereka menyembah Tuhan bernama Brahman. Selain itu mereka juga mempercayai dewa-dewi yang mewakili dunia seperti dewa Pretivi sebagai Dewa Bumi, Surya sebagai Dewa Matahari, Vayu sebagai Dewa Angin, Varuna sebagai Dewa Laut, dan Agni sebagai Dewa Api. Walaupun ada perbahasan sejarah mengenai nama-nama dewa tersebut wujud selepas penulisan Veda akan tetapi asas keyakinan terhadap dewa-dewa tersebut sudah ada dalam kepercayaan mereka.[12]
Bermulanya Zaman Vedik
Setelah bangsa Arya berpindah ke India maka berlakulah percampuran budaya dan agama di antara kedua bangsa besar ini sehingga terwujudnya penulisan kitab Veda sekitar tahun 1400 SM sehingga 1000 SM. Pada zaman itu juga dikenali sebagai zaman Veda (Vedic).[13] Kitab Rig Veda, Sama Veda, Yajur Veda, dan Athrava Veda adalah hasil penulisan dari falsafah teologi Arya yang bercampur dengan Dravidia. Setelah itu mereka juga melakukan penulisan kitab Upanishad. Kitab Veda dan Upanishad dikenali sebagai kitab Sruti iaitu kitab suci utama yang diwahyukan.[14]
Pada awal kewujudan agama Veda ini ia dikenali dengan agama Brahma dan mereka semua menguasai bahasa Sanskrit.[15] Pada ketika itu, bahasa Sanskrit hanya dikuasai oleh kaum Arya sahaja. Akan tetapi penguasaan kepada bahasa Sanskrit lama-kelamaan membawa kepada kemunduran dari sudut penguasaan di kalangan masyarakat pada ketika itu. Hasil percampuran dari bahasa Sanskrit dan bahasa asal kaum Dravidia maka muncul bahasa-bahasa baru seperti Kannada, Telugu dan Malayali yang lahir dari bahasa kuno Proto Dravida yang telah bercampur hasil daripada pemaksaan pengantian bahasa Sanskrit oleh kaum Brahmin.[16]
Ini kerana Brahmin atau pendeta agama Brahma ini adalah dari golongan Arya sahaja kerana mereka adalah golongan pembawa ajaran ke India. Oleh itu, mereka berperanan untuk mengajar masyarakat India untuk menggunakan bahasa Sanskrit.[17]
Lahirnya Agama Tidak Berkasta Di India
Pada abad ke 7 SM golongan Brahmin sudah memperkenalkan sistem kasta iaitu pengkelasan di dalam masyarakat.[18] Wujudnya pembahagian golongan agamawan, pemerintah, perusahaan, dan pekerja mengikut aturan agama. Dari hal itu lahirnya tokoh agama Jainisme yang diasaskan oleh Vardhamana atau dikenali Mahavira pada tahun 600 SM. Agamanya tidak memperkenalkan sistem kasta seperti ajaran Brahma. Agama ini asalnya menggunakan bahasa Prakrit. Akan tetapi agama ini tidak berkembang ke negara luar kecuali hanya ada di India.
Beberapa tahun kemudian, lahir pula Siddharta Gautama Buddha pada tahun 563 SM. Beliau juga membawa ajaran yang tidak membawa doktrin kasta. Beliau juga tidak menggunakan bahasa Sanskrit sebagai bahasa pengantar akan tetapi menggunakan bahasa Pali. Beliau memiliki anak murid yang ramai dan menyebabkan agama Buddha tersebar di seluruh dunia. Ketika kedua agama (Jainisme dan Buddhisme) ini giat berkembang, ia merupakan zaman kemunduran bagi agama Vedik atau agama Brahma.
Bermulanya Penulisan Kitab Suci Smriti
Oleh kerana beberapa faktor masa, budaya dan geografi, lama kelamaan bahasa Sanskrit tidak lagi menjadi bahasa teras dalam masyarakat, lalu membawa kepada kelemahan terhadap penguasaan bahasa kitab Veda. Akan tetapi usaha untuk menghidupkan bahasa Sanskrit sentiasa diteruskan. Menurut Wendy Doniger di dalam bukunya The Hindus: An Alternative History mengatakan wujudnya gelombang baru di dalam tradisi kitab suci yang bersifat sejarah dan hikayat iaitu kitab Mahabhrata dan Ramayana. Penulisan ini diperkenalkan sekitar tahun 300 SM-200 M (dan sebahagian ahli sejarah mengatakan ia bermula 400 SM).[19]
Pada zaman ini dikenali sebagai Wiracarita yang mana terkenal dengan epik perang besar yang mengangkat watak utama iaitu Arjuna, Krishna (Mahabhrata) dan juga Sri Rama (Ramayana). Malah di dalam kitab Mahabhrata juga memiliki kisah tuhan-tuhan yang turut menjadi sumbangan kepada perkembangan penulisan kitab-kitab Purana.[20] Penulisan dan perkembangan kitab ini juga beralasan untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa Sanskrit di kalangan masyarakat bukan Arya di India.
Di dalam sekitar tempoh tahun 300 SM hingga tahun 500 M ini merupakan suatu lonjakan baru di dalam agama Brahma. Ia dikenali zaman Puranik yang mana berlaku penulisan kitab-kitab lain selain kitab Sruti (Veda dan Upanishad) untuk dijadikan pegangan agama Brahma.[21] Penulisan kitab suci selain Sruti ini ia dikenali sebagai penulisan Smriti. Antara kitab yang ditulis pada zaman ini adalah kitab Sutra Dharma, Shastras, Mahabharata, Ramayana, Bhagavad Gita, Purana, dan lain-lain.
Pada zaman Puranik ini, pengaruh pembinaan patung daripada Yunani atau Hellenisme mula memasuki India dan memberi pengaruh kepada agama Brahma. Selain itu, pengaruh asal politheisme Dravidia juga bermain peranan dalam mencorak penulisan kitab-kitab dan perjalanan kisah Purana. Ini kerana dapat dilihat di dalam perkembangan sejarah bahawa, pada zaman awal agama Brahma tidak dikenali sebagai zaman tuhan yang pelbagai (politheisme). Mereka hanya percaya kepada konsep satu Tuhan. Malah pada tahun 1500 SM sehingga 300 SM (zaman Vedik) tidak terdapat peninggalan ukiran patung suci yang disembah oleh masyarakat pada zaman itu.
Kenapa Zaman Vedik Tidak Memiliki Patung?
Pada zaman Vedik (1500 SM- 500 SM) didapati tidak terdapat patung atau arca suci yang disembah oleh pada masyarakat ketika itu. Ini juga memungkinkan disebabkan terdapat larangan membuat patung Tuhan dan imej Tuhan di dalam kitab Veda dan Upanishad (Sruti). Ini kerana pada zaman ini, kitab Veda dab Upanishad adalah kitab induk yang menjadi rujukan mereka. Larangan itu disebut di dalam Veda:
1) “na tasya pratima asti
“Tak ada rupa buat Tuhan.” (Yajurveda 32:3)
2) “shudhama poapvidham”
“Tuhan tak bertubuh dan suci.” (Yajurveda 40:8)
3) “Andhatama pravishanti ye asambhuti mupaste”
“Mereka memasuki kegelapan bagi yang menyembah elemen alam (Udara, Air, Api Tanah), dan terperosok dalam kegelapan yang besar bagi yang menyembah benda buatan (patung). (Yajurveda 40:9)
Malah pada zaman ini juga sangat menekankan sifat monotheisme Tuhan seperti disebut di dalam Rig Veda dan juga Upanishad:
1) “Ekam sadvipra bahudhaavadanti
“Dia adalah Esa orang bijaksana menebut-Nya banyak nama” ( Rigveda buku 1: rangkap 164 ayat 46)
2) “Ekam eva advityam Brahman”[22]
“Tuhan hanya satu, tidak ada yang kedua” (Chandogya Upanishad bab 6 rangkap 2 ayat 1)
Malah terdapat banyak lagi ayat-ayat sedemikian. Akan tetapi situasi keagamaan ini mula berkembang dengan penambahan kitab suci pada tahun 300 SM, iaitu gelombang penulisan kitab Smriti yang telah memberi kesan kepada agama Brahma. Sehinggakan kisah Tuhan-Tuhan dan raja-raja pesat dihikayatkan dengan versi-versi tersendiri. Hal ini boleh dilihat di dalam kitab Mahabhrata dan juga kitab Purana. Kitab Purana memiliki banyak bahagian dan yang terkenal dikenali sebagai Mahapurana yang terbahagi kepada 18 buah buku:
a) Brahmapurana, b) Padmapurana, c) Visnupurana, d) Bhagavatapurana, e) Naradapurana, f) Markandeypurana, g) Agnipurana, h) Bhavisyapurana, i) Brahmavaiavartapurana, j) Lingapurana, k) Varahapurana, l) Skandapurana, m) Kurmapurana, n) Matsyapurana, o) Garudapurana, dan p) Brahmandapurana.
Kitab ini dihimpun dalam tempoh yang agak panjang. Ia dikenali sebagai tempoh penulisan Puranik.[23] Pada zaman inilah berlakunya percampuran dan penambahan dalam perkara melibatkan soal ketuhanan dalam agama Brahma. Bermula dari zaman ini, fahaman pantheisme dan politheisme mula berkembang di dalam masyarakat penganut agama Brahma. Fahaman yang menganggap semua benda yang memberi manafaat merupakan unsur-unsur Tuhan (pantheisme) dan juga fahaman menyembah arca dan menganggap Tuhan itu lebih daripada satu (politheisme) diselarikan dengan penjelmaan Tuhan melalui tubuh makhluk yang pelbagai (avatar) dan juga henoteisme.[24]
Arahan Baru Membina Patung
Kitab Purana menganjurkan penganut Hindu membuat patung dan berhala, terdapat teks di dalam Matsya Purana menyebut tentangnya di dalam bab Arsitektur (mengikut terjemahan I Wayan Maswinara):
“Patung-patung harus ditempatkan di kuil. Patung dewa Visnu hendaklah dibuat dengan empat tangan atau lapan tangan. Jika dibuat dengan lapan tangan, tangan kanan harus memegang sankha (kulit kerang), gada, sara (anak panah) dan padma (teratai). Tangan kiri harus memegang dhanu (busur), sebuah padma, sebuah sankha, dan sebuah cakra. Jika hanya dibuat empat tangan, gada dan padma ada ditangan kanan, sedangkan cakra dan sankha berada di tangan kiri. Visnu akan digambarkan berdiri di aatas bumi. Garuda raja burung mengelilinginya. Garuda kemudian berada di kaki kanan Visnu. Patung dewi Laksmi harus berada di kiri patung Visnu dan patung Laksmi harus memegang bunga teratai. Patung yang baik terbuat daripada emas, perak, tembaga, perhiasan, batu, kayu, besi atau campuran logam. Ukuran tubuh para dewa tersebut haruslah benar.”[25]
Begitu juga dengan patung dewa yang lain, Purana sudah menggariskan gambaran dan wajah Tuhan mereka sehingga perlu dijadikan sebagai patung. Sebagai contoh, wajah dan struktur Siva sudah digariskan di dalam Purana:
“Patung dewa Siva harus dibuat dengan rambut panjang yang tergerai dan ia harus menggunakan bulan sabit di atas dahinya. Patung tersebut harus menggambarkan Siva saat berumur 16 tahun. Siva harus memakai pakaian yang dibuat dari bulu binatang dan harus berkalungkan ular. Bulu burung merak harus dipakai di salah satu telinganya. Jika tombak, tongkat atau trisula ditunjukkan, senjata tersebut harus berada disebelah kanan. Dan jika tengkorak, ular atau pedang ditunjukkan, benda-benda tersebut harus berada di sebelah kiri. Sedang Siva menaiki seekor sapi, patungnya memiliki dua tangan, akan tetapi, jika patung Siva dibuat dalam keadaan menari, patung tersebut memiliki sepuluh tangan. Dan jika patung tersebut bertujuan menggambarkan Siva menghancurkan Tripura, patung tersebut harus memiliki 16 tangan.”[26]
Kitab Purana secara jelas menceritakan mengenai keperluan mengukir patung dewa-dewa. Ia merupakan suatu perkembangan yang tidak terdapat dalam ajaran asal Veda. Malah mengenai Siva sendiri tidak disebut di dalam kitab awal seperti Veda dan Upanishad.[27] Zaman kebangkitan kedua agama Hindu ini melihat begitu banyak sekali penambahan terhadap doktrin ajaran Veda.
Pada zaman Puranik inilah agama Hindu banyak dicorak oleh pengaruh politheisme. Selain itu juga berlaku perkembangan ibadah kebaktian (puja) kepada imej dewa-dewa di kuil-kuil mereka. Setelah itu, agama Brahma mula malap apabila tiba pada zaman pemerintahan Asoka di India dibawah empayar Maurya. Di mana Raja Asoka mengambil agama Buddha sebagai agama rasmi pemerintahannya pada tahun 269-232 SM. Pada zaman Raja Asoka beliau menekankan penggunaan bahasa Pali bagi penyebaran agama Buddha.[28]
Pada zaman pemerintahan Asoka penyebaran dan perkembangan Hinduisme (atau agama Brahma) di India sedikit terbantut disebabkan berlakunya penyebaran agama Buddha secara pesat oleh Raja Asoka ke Timur. Setelah sekian lama, agama Brahma mendapat nafas baru apabila Empayar Gupta mengambil alih pemerintahan secara dominan di negara India.
Pada zaman ini penggunaan bahasa Sanskrit dihidupkan semula dan itu mengisyaratkan kepada penggunaan agama Hindu sebagai agama rasmi negara. Pada zaman kebangkitan Empayar Gupta (320 M - 500 M) ini juga menyaksikan perkembangan tradisi Hindusime iaitu wujudnya beberapa aliran yang memberi pengkhususan kepada tuhan-tuhan di dalam kelompok komuniti antaranya adalah Vaishnavisme (memberi tumpuan kepada Vishnu), Shaivisme (memberi tumpuan kepada Siva) dan Shaktisme (memberi tumpuan kepada Dewi). Sebab itu pada hari ini kuil-kuil Hindu banyak dipengaruhi oleh Tuhan dari keluarga Siva, Vishnu, dan Devi. Akan tetapi tidak dibangunkan kuil yang memberi tumpuan kepada Brahma. Hasil daripada itu didapati kuil beraliran Brahma agak jarang disebut oleh penganut Hindu.[29]
Menurut Wendy Doniger di dalam bukunya The Hindus, pada zaman Empayar Gupta inilah penulisan kitab Smriti berjaya dilengkapkan dan dihimpun kesemuannya lalu dijadikan rujukan kepada penganut Hindu. Kitab-kitab Purana juga menjadi rujukan penting dalam pembinaan patung di kuil. Wajah-wajah Tuhan di kuil kesemuannya dicorak berdasarkan kitab Purana.[30] Oleh itu, amalan agama Hindu pada hari ini banyak terpengaruh dengan perkembangan Puranik dan juga empayar Gupta.
Perbincangan Mengenai Nama Hinduisme
Perkataan Hindu atau Hinduisme tidak akan dijumpai dalam mana-mana kitab suci agama Hindu malah perkataan ini baru sahaja diperkenalkan.[31] Menurut Pundit Jawahar Lal Nehru dalam bukunya Discovery of India, perkataan Hindu pertama kali digunakan oleh bangsa Parsi merujuk kepada kawasan Sungai Indus dan mereka menamakan sebagai Hindus.[32]
Setelah itu, perkataan Hindu mula digunakan oleh seorang penulis dari British pada tahun 1830 merujuk kepada ajaran dan agama yang dianuti oleh masyarakat di sana. Berlaku polemik dikalangan ilmuan di India terhadap nama kepada ajaran yang dianuti oleh penganut Hindu yang menganut kepada kitab Veda. Mereka lebih gemari dengan nama Vedanta yang bermaksud orang yang mengikuti kitab Veda. Ada juga yang menamakan sebagai Sanatana Dharma yang bermaksud Kebenaran Abadi (Natural Law). Mereka juga sinonim dengan nama agama Brahma. Manakala perkataan Hindu itu tidak disepakati oleh ilmuan mereka. Akan tetapi perkataan ini mula meluas dan sudah menjadi nama khusus kepada agama yang dianuti oleh kelompok yang mengikuti kitab Veda dan kebudayaan India.
Kesimpulan
Asal ajaran Veda dan Upanishad adalah menekankan konsep monotheisme. Konsep ketuhanan dan dewa dewi mula berubah apabila memasuki pada zaman penulisan kitab Smriti. Setelah itu dikembangkan lagi dengan kewujudan aliran-aliran penyembahan mengikut kelas-kelas dewa utama mereka seperti Siva, Vishnu dan Dewi. Sehinggalah ke zaman ini, agama Hindu memiliki sejarah dan fasa turun naik yang begitu panjang. Termasuklah pada zaman moden ini terdapat beberapa tokoh besar mereka seperti Ram Mohan Roy, Sri Ramakrishna, Swami Vivekananda, Mahatma Gandhi dan ramai lagi yang turut menyumbang inovasi dan idea ke dalam ajaran ini.
Nota Kaki:
_______________________________
[1] Sebelum adanya golongan Dravidia sudah ada golongan awal iaitu Negrito dan Ausroloid, cuma golongan Dravidia merupakan golongan yang membangunkan tamadun yang besar di India dan mereka menguasai sebelum kedatangan kaum Arya.
[2] Lihat Ernest Mackay, (1948). Early Indus Civilizations, Luzac & Company LTD, London, hlm 45
[3] Lihat ibid, hlm 52-76
[4] Lihat Esa Khalid & Mohd Azhar Abd Hamid, (2005). Beberapa Aspek Tamadun Melayu, India, China dan Jepun, Universiti Teknologi Malaysia, Johor, hlm 341/ Lihat Professor Gavin Flood, (2009). History of Hindusim - www.bbc.co.uk-religions Hinduism- perbahasan mengenai dewa-dewa Hindu juga terdapat kontroversi yang mengakar terutama mengenai penemuan patung Proto Siva yang disembah oleh masyarakat Dravidia, polemik masih lagi dalam perbahasan dikalangan ahli teologi.
[5] Sebab itu antara ras masyarakat India Utara dan India Selatan memiliki perbezaan yang ketara, di Selatan mereka dikenali sebagai masyarakat Tamil pada hari ini dan Utara dikenali sebagai masyarakat Hindustan. Perbezaan mereka juga tidak sekadar wajah dan genetik sahaja tetapi memiliki perbezaan dari segi pertuturan, pemikiran dan kepercayaan.
[6] Lihat Rasamandala Das, (-). The Illustrated Encylopedia of Hinduism, Lorenz Books, Armadillo, hlm 20-21 / Lihat Sihombing,(1962). India: Sejarah dan kebudayaan, Bandung: Sumur Bandung, hal. 12.
[7] Flood, Gavin D. (1996). An Introduction to Hinduism, Cambridge University Press, hlm 3
[8] Lihat Hiltebeitel, Alf (2007). artikel Hinduism. Diedit oleh Joseph Kitagawa, "The Religious Traditions of Asia: Religion, History, and Culture, RoutledgeCurzon Tylor & Francis Group, London, hlm 3-6
[9] Mohd Rosmizi Abd Rahman dan rakan-rakan, (2012). Agama-Agama Di Dunia, USIM,Negeri Sembilan, hlm 37
[10] Lihat Drs. I Ketut Wiana, M. Ag, (2013). Pokok-Pokok Ajaran Hindu, PT Paramita Surabaya, hlm 6
[11] Lihat Muhammad Alexander, (2011). Yakjuj & Makjuj 5 Gelombang Pembawa Bencana, PTS, Selangor, hlm 311
[12] Satu perbincangan menarik oleh Prof. Uthaya Naidu berpandangan bahawa dewa-dewa di dalam Veda itu merupakan nama-nama tokoh pemimpin bangsa Arya ketika mereka memasuki India. Antaranya adalah Indra yang dianggap sebagai dewa angin. Melihat kepada teks Veda antaranya Rig Veda VIII, 87: 6, Rig Veda IX 73: 5, Rig Veda VI 130: 8, Rig Veda VII 12: 4, merupakan teks isyarat menceritakan perjuangan Indra menentang golongan kulit hitam atau dikenali sebagai Dravidia dan Koloria saat menakluk India.
[13] Lihat Singh, Upinder (2008). A History of Ancient and Early Medieval India: From the Stone Age to the 12th Century, hlm 185/ Lihat Drs. I Ketut Wiana, M. Ag, (2002). Pokok-Pokok Ajaran Hindu, Penerbitan Paramita Surabaya, Surabaya, Indonesia, hlm 6-7/ Lihat Abu Su’ud, (1988). Memahami Sejarah Bangsa-Bangsa Asia Selatan, Jakarta: Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Derektorat Jenderal Pendidikan Tinggi, hal 46
[14] Lihat Rasamandala Das, (-). The Illustrated Encylopedia of Hinduism, Lorenz Books, Armadillo, hlm 23.
[15] Perlu ditegaskan bahawa bangsa Arya tidak sesekali menganut agama Hindu, mereka hanya membawa sebuah ajaran yang diperolehi di Indo-Arya, menurut Prof. Norman Brown dalam buku Pakistan and Western Asia kebudayaan Arya lebih dekat dengan apa yang ada dalam Avesta kitab suci Zoroaster juga merupakan ajaran tauhid. Manakala agama Hindu adalah hasil sinkretisme dengan kebudayaan lain setelah sekian lama bertapak di India sehingga mewujudkan agama Hindu pada hari ini.
[16] Lihat Soegiri DS, (2008). Arus Filsafat, PT Ultimus, Bandung, Indonesia, hlm 244, ini kerana golongan Arya ingin masyarakat menggunakan bahasa Sanskrit sebagai pengantar sedangkan pada awal kemasukkan mereka, bahasa Sanskrit ini merupakan bahasa asing yang tidak pernah digunakan oleh bangsa Dravidia.
[17] Lihat Arnold Toynbee (2004). Sejarah Umat Manusia, Pustaka Pelajar, Yogyakarta, hlm 189-192.
[18] Walaupun dihujahkan bahawa Kasta atau Varna itu ada diperkenalkan di dalam Rig Veda buku 10: 90: 11-12 akan tetapi pemaknaannya itu bukan tertuju kepada pembahagian kelas masyarakat mengikut agama tetapi ia adalah nilai sinergi dari kalangan kesemua kelas masyarakat membentuk satu badan. Sistem kasta yang rigid dipalit dengan agama mula dikembangkan pada abad ke 8 SM.
[19] Lihat Wendy Doniger, (2009). The Hindus: An Alternative History, Penguin Books, USA, hlm 214-230. Ada pandangan mengatakan ia ditulis pada tahun 400 SM seperti Molloy, Michael (2008). Experiencing the World's Religions. hlm 87 dan Brockington, J. (1998). The Sanskrit Epics, Leiden hlm 26 serta Van Buitenen; The Mahabharata, Jilid. 1; The Book of the Beginning. Introduction.
[20] Lihat Ananda K. Coomarasmawy & Sister Nivedita, (2016). Myths Of The Hindus And Buddhists, Dover Publications, New York, hlm 4-10.
[21] Disamping itu mereka juga menerima zaman kemuduran dicelah-celah tempoh Puranik.
[22] Manakala Max Muller menterjemahkan: “In the beginning,' my dear, 'there was that only which is (τὸ ὄν), one only, without a second. Others say, in the beginning there was that only which is not (τὸ μὴ ὄν), one only, without a second; and from that which is not, that which is was born.”
[23] Menjadi perbezaan di kalangan Indologists mengenai tarikh permulaan penulisan Purana. Menurut Wendy Doniger yang turut mengkaji mengenai usia penulisan kitab Purana. Menurut beliau, Purana ditulis sekitar tahun 250 M-1000 M. Berawal dengan Matsya Purana dan Markandey Purana sekitar 250 M dan diakhir dengan Linga Purana sekitar 1000 M.
[24] Avatar merupakan reakarnasi atau kelahiran Tuhan dalam bentuk manusia seperti Tuhan Visnu turun ke dunia lalu menjelma menjadi Sri Rama, Krishna, dan Buddha.
[25] Lihat I Wayan Maswinara, (2002). Matsya Purana, PT Paramita, Surabaya, hlm 88-89.
[26] Ibid hlm 89
[27] Nama Siva tidak terdapat di dalam Veda dan Upanishad. Ia baru dinamakan pada zaman Puranik. Ilmuan mereka berpendapat karekter Siva di dalam Veda adalah Rudra. Lihat Stephen Knapp (2010). Avatars, Gods and Goddesses of Vedic Culture, hlm 4.
[28] Lihat Azharudin Mohd Dali, (2004). Tamadun India, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm 93-94
[29] Lihat Professor Gavin Flood, (2009). History of Hindusim - www.bbc.co.uk-religionshinduism : Malah boleh dikatakan tidak ada kuil Brahma
[30] Lihat Wendy Doniger, (2009). The Hindus: An Alternative History, Penguin Books, USA, hlm 370-405
[31] Lihat James Hansting dan rakan-rakan (-) Encyclopedia of Religion and Ethics, Jilid 6 hlm 699
[32] Di dalam kitab Zend Avesta menggunakan perkataan Hapta-Hendu merujuk kepada India. Lihat Zend Avesta, Vendidad: Fargard 1. 8
R&D TEAM MRM
Search
nama nama jalan di jakarta barat 在 Penggantian Nama Jalan oleh Pemprov DKI Ditolak Warga 的推薦與評價
JAKARTA, KOMPAS.TV - Penggantian nama jalan oleh Pemprov DKI Jakarta mendapat penolakan.Puluhan warga di Kebon Jeruk, Jakarta Barat menolak ... ... <看更多>