QASR MUNFASIL ( 2harakat mad munfasil)
Satu perkembangan bagus yang saya lihat mutakhir ini. Ia berkenaan bacaan Mad Munfasil dengan kadar 2 harakat (Qasr). Walhal bacaan yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia adalah dengan kadar 4 harakat (Tawassut). Secara tidak langsung menggambarkan ilmu ini sudah mula berkembang dalam masyarakat.
Namun begitu, ada perkara yang perlu diteliti sebelum mahu mengamalkan bacaan sedemikian kerana dibimbangi berlakunya tarkib dalam bacaan. Ini kerana Riwayat Hafs secara umumnya mempunyai 52 aliran (mazhab) dan tambahan 5 aliran lagi mengikut pandangan Al-Izmiriy.
Pengalaman saya, ramai qari yang membaca dengan Qasr Munfasil... Namun bila ditanya dari aliran mana bacaan sedemikian.. Maka disebut dengan aliran Ibn Jazariy atau Toyyibah atau Al-Nasyr. Semudah itu menyandarkan bacaan kepada Ibn Jazariy tanpa memahami aliran tersebut dengan jelas.
Mengikut guru kami, Syeikh Dr. Tawfiq Dhamrah... Beliau membuat analogi Toriq Toyyibah ini adalah seperti Jus Koktail. Didalamnya terdapat pelbagi campuran buah yang dikisar. Ketika kita minum, kita sudah tidak mampu kenal mana satu buah oren, anggur dan lain-lain. Jadi, untuk tahu buah apa yang digunakan kenalah tanya si pembuat jus tersebut. Nah, begitulah juga Toriq Toyyibah... Dicampur dalamnya pelbagai jenis bentuk bacaan... Jadi untuk tahu detailnya, kena rujuk kitab Al-Nasyr...
Ibnu Al-Jazariy karang kitab Al-Nasyr adalah berpandukan kepada kitab-kitab karangan ulama sebelumnya. Disaringnya kitab-kitab itu sehingga jelas aliran bacaannya. Ada yang diterima ada yang ditolak. Sebanyak 58 kitab yang dijadikan panduan beliau.
Bagi Riwayat Hafs, Ibnu Al-Jazariy hanya memilih 17 kitab sahaja dari 58.. Dan telah dikenalpasti sebanyak 52 aliran bacaan yang terbit darinya. 52 aliran ini pula terpecah dibawah 4 Sandaran utama iaitu Al-Fil, Zur'an, Al-Hasyimiy dan Abu Tahir. Bacaan Al-syatibiy berada dibawah Al-Hasyimiy. Jadi, bacaan Al-Syatibiy juga berada dalam Toriq Toyyibah.
Daripada 52 aliran bacaan ini pula, yang baca dengan Qasr (2 harakat) hanya 11 aliran bacaan. Dan daripada 11 aliran bacaan ini pula, yang paling hampir dengan bacaan Al-Syatibiy adalah Toriq Al-Hammamiy dari Kitab Al-Misbah dari Al-Fil. Ingat yer, dari kitab AL-MISBAH DARI AL-FIL. Ini kerana ada Toriq Al-Hammamiy yang disandarkan kepada kitab lain seperti Kitab Al-Kamil oleh Al-Huzaliy dan Al-Mustanir oleh Ibn Suar juga dari AL-FIL.
Walaupun ia hampir dengan Toriq Al-Syatibiy, namun tidaklah pembaca hanya menukar bacaan pada Mad Munfasil semata-mata, namun perlu diraikan juga pada beberapa tempat lain seperti berikut:
*Perbezaan antara Toriq Syatibiy (TS) dan Toriq Hammamiy (TH)*
1- *Takbir khas (Surah Khatam)*: (TS) tiada takbir, (TH) ada takbir.
2- *Mad Munfasil*: (TS) 4H, (TH) 2H.
3- *Mad Muttasil*: (TS) 4H,
(TH) 4H.
4- *Kalimah (ويبصط) & (بصطة)*: (TS) dengan (س), (TH) dengan (ص).
5- *Kalimah (المصيطرون)*: (TS) dengan (س) atau (ص), (TH) dengan (س) sahaja.
6- *kalimah (ءالذكرين), (ءالله), (ءالأن)*: (TS) dengan Ibdal & Tashil, (TH) dengan ibdal sahaja.
7- *Kalimah (تأمنا)*: (TS) dengan Isymam @ Ikthilas, (TH) dengan isymam sahaja.
8- *Huruf (عين) pada (كهيعص) & (عسق)*: (TS) 4@6H, (TH) 4H sahaja.
9- *Kalimah (فما ءاتاني) ketika waqaf*: (TS) 2 wajah, isthbat @ hazaf ya, (TH) hazaf ya sahaja.
10- *Kalimah (سلاسلا) ketika waqaf*: (TS) 2 wajah, ithbat@hazaf alif, (TH) hazaf alif sahaja.
11- *Kalimah (ضعف) @ (ضعفا)*: (TS) 2 wajah, Dhad baris atas atau depan, (TH) Dhad baris atas sahaja.
12- *Ra pada (فرق)*: (TS) 2 wajah, tebal atau nipis, (TH) tebal sahaja.
13- *Saktah pada (عوجا), (مرقدنا), (من راق) & (بل ران)*: (TS) & (TH) baca saktah.
Semoga bermanfaat untuk semua.
Wassalam
kredit: Akhukum,
Azizul Hassan😁
Search